Wednesday, June 2, 2010

Score A Kenshido Bakal Berkembang Ke Pasaran Asia
Friday, October 30, 2009

Oleh Santhia Panjanadan

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kenshido International Sdn Bhd, syarikat tempatan pertama meneroka ke dalam pendidikan dalam talian (pendidikan web) pada 1999, bercadang melebarkan sayapnya ke tujuh negara Asia pada suku pertama 2010.

Syarikat itu optimistik usahanya ke pasaran antarabangsa akan berjaya memandangkan ia akan memperkenalkan produk bahasa Inggeris dalam talian sebagai bahasa kedua (E-esl) awal tahun depan. "E-esl akan disediakan mengikut sukatan pelajaran negara yang akan kami tembusi. Kami mahu menumpukan ke pasaran Asia sebelum berkembang ke rantau lain. "Kami kini di peringkat awal perbincangan dengan Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Filipina, Vietnam dan Hong Kong. "Tiada masalah bagi kami untuk meneroka ke negara berkenaan," kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Kenshido, Jason Kok Min Chong dalam temu bual eksklusif dengan Bernama. Beliau berkata Kenshido juga meninjau pasaran Timur Tengah bagi produk E-esl dan telah berunding dengan beberapa pihak. Selain memasuki pasaran antarabangsa, Jason berkata Kenshido akan mempromosikan produk itu secara agresif di Malaysia memandangkan terdapat permintaan yang besar bagi produk bahasa.

Syarikat pendidikan berkenaan menjual produk e-pembelajarannya, Score A, untuk murid tahun satu hingga pelajar tingkatan lima melalui sistem pemasaran secara langsung (MLM) dan mempunyai lebih 40,000 pengedar aktif di seluruh negara. Program e-pembelajaran Kenshido membolehkan pelajar bersedia untuk peperiksaan dan sejak 10 tahun lepas berjaya menghasilkan ribuan pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan UPSR dan PMR. Portal program Score A diterima oleh Kementerian Pelajaran dan berharga RM596 setiap satu, untuk langganan enam bulan. Semasa mengulas lanjut, Jason berkata Kenshido akan melabur RM20 juta untuk mendirikan pejabat di bawah fasa pertama pelan pengembangan antarabangsanya. "Kami yakin dapat menjana perolehan RM30 juta sebulan daripada negara-negara ini dalam masa dua tahun," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Jason berkata baru-baru ini Kenshido membeli bangunan tiga tingkat, Wisma Kenshido 2, pada RM6.5 juta untuk digunakan sebagai tempat latihan dan seminar. Ia telah memiliki bangunan tiga tingkat bernilai RM4.3 juta, Wisma Kenshido 1, yang dijadikan ibu pejabat. Kedua-dua bangunan berkenaan terletak di Kota Damansara. Jason berkata syarikat juga akan menggandakan pusat sokongan di seluruh negara kepada 30 menjelang pertengahan 2010. "Kami merancang untuk melabur RM100,000 bagi setiap pusat. Sehingga kini kami mempunyai 30 pusat sokongan di seluruh negara," katanya.

Jason berkata pembukaan pusat sokongan perlu memandangkan perniagaan berkembang pantas dan penting bagi Kenshido menyediakan kemudahan sokongan kepada lebih 40,000 pengedarnya bagi meluaskan perniagaan.

petikan dari BERNAMA

No comments:

Post a Comment